Sabtu, 7 Februari 2015

Guru-guru Dan Staff SMK Penghulu Saat Peroleh Ilmu Berguna Dalam Hari Profesionalisme Pertama 2015


 Oleh:
Umi Kalsum binti Idham

7 JANUARI 2015.  Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggariskan latihan dalam perkhidmatan (LDP) sebagai satu kewajipan dan prioriti yang mesti dilaksanakan dalam perancangan kerjaya setiap guru. Dengan itu, bidang pembangunan staf telah dijadikan teras yang penting dalam aras pembangunan pendidikan negara. Latihan Dalam Perkhidmatan dianggap sebagai alat yang paling berkesan dalam memberi latihan kepada guru-guru yang meliputi pengetahuan dan kemahiran baru kepada guru dalam meneruskan kerjaya bagi mengharungi cabaran dunia pendidikan.  Cabaran guru semakin bertambah dengan ledakan teknologi maklumat lantaran itu guru harus sentiasa mengembangkan diri secara professional supaya guru dapat bergerak bersama-sama dengan arus perkembangan ilmu dan dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkesan. Selari dengan perkembangan globalisasi pendidikan yang pesat ini, jawatankuasa perkembangan staff SMK Penghulu Saat telah mengadakan Hari Profesionalisme kali pertama. 
     Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) kali ini bertujuan  meningkatkan kapasiti dan kualiti guru dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dan secara langsung dapat meningkatkan pencapaian prestasi sekolah. LDP dimulakan dengan slot pertama berkaitan Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan yang disampaikan oleh En Razak bin Othman. Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan ini adalah terhasil darpada Anjakan 4 yang terdapat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). 
Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPPB) adalah usaha untuk melengkapi pembangunan profesionalisme sedia ada dan mentransformasi amalan pembangunan profesionalisme berterusan bagi meningkatkan kualiti guru dan pemimpin sekolah serta memperkasa profesion keguruan.  Menurut PPPB yang dilancarkan oleh Kementerian pendikan Malysia , lebih kurang 60% guru pada hari ini akan terus mengajar bagi tempoh 20 tahun lagi. Perincian peranan guru dalam PPPB yang ditekankan adalah
seseorang guru dan pemimpin sekolah harus menjadi pemikir holistik dan kreatif, pemikir strategik, peneraju perubahan, pembimbing dan mentor, penggerak dan akhirnya pelaksana. Slot ini banyak memberi kesedaran akan kepentingan dan cabaran menjadi guru dan pemimpin sekolah dalam masa terdekat dan akan datang kerana selari dengan hasrat dalam PPPB bahawa Guru dan pemimpin sekolah yang baik menjadi tunjang setiap sistem pendidikan.  


Slot 1- Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan oleh GPK 1 En Razak bin Othman
     Bahan bantu mengajar(BBM) adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan proses pembelajaran dan pengajaran dimana BBM tersebut akan menimbulkan rangsangan keinginan pelajar-pelajar untuk mengetahui sesuatu dan  menjadikan pembelajaran baik dan lebih menarik. Bagi menambah kemahiran dalam pelaksaan Pengajaran dan pembelajaran, Encik Roswadi bin Dagang, pemenang anugerah Inovasi peringkat negeri Johor dan Pemenang anugerah Emas Inovasi peringkat Kebangsaan telah diberi kepercayaan mengemudi slot ke-2 . Dalam Slot ini , En Roswadi Dagang yang juga merupakan guru di SMK Penghulu Saat berkongsi kepakaran menghasilkan bahan interaktif menggunakan  Microsoft Power Point. Selepas penerangan beliau, guru-guru dibahagikan kumpulan mengikut panitia maisng-masing untuk menghasilkan bahan bantu mengajar di dalam kelas mengikut subjek masing-masing. Panitia Bahasa Melayu, Panitia Kemahiran Hidup dan Panitia Pendidikan Islam diberi penghormatan membentang hasil slaid yang dibina.  Banyak ilmu yang diperoleh dalam slot ini yang tentunya akan mengubah corak pelaksanaan PdP dalam kalangan guru-guru.

Slot ke-2 ;Perkongsian kepakaran oleh Encik Roswadi bin Dagang 

Aktiviti perbengkelan oleh guru-guru
Pembentangan hasil slaid oleh wakil panitia Kemahiran Hidup-Pn. Umi Kalsum Idham
Pembentang oleh wakil panitia Pendidikan Islam- Ustaz Taufik
Pn. Hjh Ramlah, pengetua SMK Penghulu Saat menyampaikan cenderahati kepada En. Roswadi Dagang
     Slot terakhir diteruskan dengan ceramah kesihatan oleh pakar pemakanan dari Hospital Nora Ismail, Batu Pahat, Pn Ho Chio Yi. Dalam ceramah beliau, Pn Ho berkongsi  tentang cara pengambilan makanan yang betul dalam kehidupan seharian kita. Beliau juga memberikan beberapa tips penjagaan kesihatan yang harus diamalkan seperti sukatan pengambilan makanan mengikut mutrien yang diperlukan oleh tubuh badan kita. Antara saranan daripada Pn Ho cara terbaik penjagaan kesihatan adalah dengan cara mengehadkan pengambilan lemak tepu dan trans dalam mentega, daging merah, produk tenusu, dan santan . Menurut beliau lagi, berdasarkan kajian, pengambilan berlebihan akan menyebabkan sumbatan pada salur darah dan membawa kepada penyakit jantung. Antara makanan yang selalunya mengandungi lemak ini ialah cip, kraker, marjerin, donat, ayam goreng, kentang goreng, kek, biskut dan banyak lagi. Jelas kelihatan  tumpuan yang diberikan oleh semua staff dan guru-guru SMK Penghulu Saat dalam perkongsian maklumat yang disampaikan. 
Ceramah Kesihatan oleh pakar pemakanan- Pn Ho Chio Yi
Latihan Dalam Perkhidmatan  kali pertama ini diakhiri dengan taklimat pengurusan oleh pengetua SMK Penghulu Saat, Pn Hajah Ramlah binti Sapuan. Dalam taklimat ringkas tersebut , beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru dan staff yang hadir . Beliau juga berharap, kursus-kursus dalam perkhidmatan yang dijalankan ini memberi keseronokan dan ilmu kepada guru-guru yang hadir untuk memartabatkan lagi profesion perguruan. Tahniah dan syabas kepada jawatankuasa perkembangan staff yang  telah bertungkus-lumus menjayakan Hari Profesinalisme Pertama pada tahun 2015 ini.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan